Pages

Peta Bandar Seri Alam

Wednesday, October 13, 2010

Kolej HELP

HELP, Seri Alam labur RM300j bina kampus

KUALA LUMPUR 12 Okt. - HELP International Corporation Bhd. (Kumpulan HELP) dan Seri Alam Properties Sdn. Bhd. (Seri Alam) bakal melabur RM300 juta bagi membangunkan empat fasa kampus Kumpulan HELP di Bandar Seri Alam, Iskandar Malaysia, Johor.
Fasa pertama yang melibatkan kawasan seluas 250,000 kaki persegi dijangka siap menjelang 2013 manakala keseluruhan projek dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2016.
"Kami akan membangunkan strukturnya dan Kumpulan HELP akan menyediakan kemudahan lain seperti kelas, makmal dan rekaan dalaman , " kata Ketua Pegawai Eksekutif UMLand Bhd., Pee Tong Lim.
Pee berkata demikian di dalam sidang akhbar selepas mewakili Seri Alam memeterai perjanjian persefahaman (MOU) di antara syarikat itu dan Kumpulan HELP di sini hari ini.
Seri Alam adalah anak syarikat milik penuh UMLand dan merupakan pemaju Bandar Seri Alam di Iskandar Malaysia.
Majlis disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Di bawah MoU berkenaan, Seri Alam akan membangunkan kampus tersebut dan memajaknya dalam tempoh 15 hingga 20 tahun.
Menurut Pee, penubuhan kampus keempat kumpulan HELP di Bandar Seri Alam bakal mengukuhkan lagi kedudukan bandar itu sebagai pusat pendidikan di Iskandar Malaysia.
Kampus tersebut akan dibina di atas tanah seluas satu juta kaki persegi bersebelahan dengan Taman Penyelidikan dan Pembangunan Perniagaan Inkubator (BIRD).
Ia juga akan berjiran dengan beberapa institusi pendidikan ternama seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan Masterskills University College of Health Sciences.
Dalam pada itu, Presiden Kumpulan HELP, Datuk Dr. Paul Chan berkata, penubuhan kampus baru itu akan meningkatkan lagi peluang pekerjaan, perkhidmatan sokongan, permintaan kepada kediaman dan gaya hidup baru di rantau ini.
Kampus baru itu akan menawarkan kursus di dalam bidang pelancongan dan hospitaliti, masakan, keusahawanan, kejuruteraan, multimedia dan animasi.

sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment